KENYATAAN AKHBAR MAHASISWA UIAM TERHADAP PENTADBIRAN UIAM
BERHUBUNG ISU SEWAAN KAMPUS KEPADA DRB – HICOM
Pihak We Unite For Islam (WUFI) UIAM mewakili seluruh mahasiswa UIAM ingin melahirkan rasa kekesalan kami terhadap pentadbiran dan pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak di atas sewaan kampus induk ini kepada pihak DRB – HICOM kerana menganjurkan Karnival Sukan pada 22hb Jun hingga 24hb Jun 2007 yang lalu. Secara asasnya, pihak WUFI bersetuju dengan sewaan yang dibuat.
Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang mana pihak pentadbiran gagal memainkan peranannya sebagai tuan rumah untuk menjaga situasi dan kebajikan mahasiswa – mahasiswi UIAM.
Kami melahirkan rasa tidak berpuas hati terhadap beberapa perkara :
1) Kolej Kediaman
Pihak DRB – HICOM telah menyewa beberapa buah kolej kediaman di UIAM bagi tujuan penempatan staf-staf serta keluarga yang terlibat dengan Karnival Sukan tersebut. Isunya, mahasiswa dan mahasiswi UIAM diminta untuk mengosongkan bilik kediaman mereka disamping tidak mempedulikan barang-barang dan peralatan di bilik tersebut. Pihak pengurusan kolej meminta supaya mahasiswa mengosongkan bilik walaupun ada dikalangan mereka yang tidak bercuti kerana terlibat dengan urusan praktikal dan program universiti. Arahan ini telah menyusahkan mahasiswa dan mahasiswi terbabit yang terpaksa hidup berpindah randah kerana semata-mata untuk mengutamakan pihak DRB-HICOM.
2) Isu Kod Etika Pemakaian
Sebagai sebuah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, pihak pentadbiran sepatutnya bertegas dengan Kod Etika Pemakaian yang telah ditetapkan oleh pihak universiti. Sekiranya, mahasiswa dan mahasiswi bukan Islam yang menuntut di UIAM diminta untuk memakai skaf (tudung kecil), berkain labuh dan berseluar panjang sewaktu sesi pembelajaran, kenapa pihak pentadbiran membenarkan staf-staf DRB-HICOM tidak berpakaian yang sepatutnya mengikut lunas Syari’at Islam dan Kod Etika Pemakaian di UIAM. Bagi pihak WUFI, ia dikira sebagai satu pencanggahan yang jelas samada
mengikut hukum agama Islam dan peraturan universiti.3) Isu Konsert
Pihak DRB – HICOM telah mengadakan konsert pada malam 23hb Jun 2007 dengan menjemput artis tanahair Malaysia iaitu M.Nasir dan Ramli Sarip. Pihak WUFI masih lagi boleh bertimbang rasa dengan jemputan artis-artis berkenaan. Walau bagaimanapun, pihak kami menyesal kerana pihak UIAM tidak menyediakan etika penganjuran konsert yang sesuai untuk dianjurkan di Taman Ilmu dan Budi ini. Contohnya, sewaktu solat Isya’ ditunaikan, terdengar pekikan nyanyian artis di Stadium Saidina Hamzah, UIAM yang berhampiran dengan surau kolej kediaman dan masjid UIAM sendiri. Pihak pentadbiran UIAM juga gagal mengasingkan pengunjung lelaki dan perempuan yang bukan muhram untuk menyaksikan konsert tersebut. Sedangkan sewaktu penganjuran konsert tersebut, pihak keselamatan UIAM juga turut beroperasi di
dalam dan di luar stadium itu.Tuntutan Mahasiswa Dan Mahasiswi Kepada Pihak Pentadbiran UIAM :
1) Pihak WUFI menggesa pihak pentadbiran UIAM supaya dapat mendedahkan butiran perjanjian sewaan di antara UIAM dan DRB-HICOM kepada semua massa. Ini bertujuan untuk melihat keseriusan pihak UIAM samada adakah mereka mengambil kira perkara-perkara seperti di atas atau tidak di dalam perjanjian tersebut.
2) Pihak WUFI juga menuntut pihak pentadbiran supaya mengeluarkan satu manual penganjuran konsert atau program-program hiburan di UIAM supaya selaras dengan Syari’at Islam dan imej UIAM sendiri. Ini kerana, pihak kami merasakan adalah menjadi satu amanah yang besar untuk menjaga kredibiliti Taman Ilmu dan Budi sebagai sebuah
institusi agama dan intelektual.
3) Pihak WUFI juga memohon kepada pihak pentadbiran UIAM supaya tidak mementingkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan kebajikan utama warga UIAM dan menggadaikan nilai dan kredibiliti Taman Ilmu & Budi ini. Akhirnya, pihak We Unite For Islam (WUFI) berharap agar pihak pentadbiran UIAM sedar dan insaf di atas tanggung jawab dan amanah dalam menguruskan kampus Taman Ilmu dan Budi, Gombak ini.
Disediakan oleh,
Ahmad Fawwaz Abdul Aziz
Jurucakap, We Unite for Islam (WUFI)
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. "
No comments:
Post a Comment